Saturday 9 February 2019

Minit Mesyuarat Agung Tahunan Ketiga

Minit Mesyuarat Agung Tahunan Ketiga
Kelab Kesedaran Pendidikan, Pembangunan Kapasiti
dan Integrasi Nasional Daerah Larut dan Matang, Perak
[PPM-007-08-16052017]

Sebahagian ahli berdaftar yang hadir

Tarikh: 6 Februari 2019 (Rabu)
Masa: 4.30 petang
Tempat: 285 Lorong K, Aulong Lama, 34000 Taiping, Perak

1. Ucapan Pengerusi

Pengerusi mesyuarat memaklumkan bahawa pemilihan jawatankuasa baharu akan dilakukan pada kali ini, dan sepertimana dipersetujui sejak penubuhan Kelab, Surendran Govindasamy (pengerusi) dan Uthaya Sankar SB (setiausaha) tidak akan mempertahankan jawatan masing-masing.

2. Pengesahan jumlah kehadiran dan korum untuk meneruskan mesyuarat

Berdasarkan senarai terkini, jumlah ahli berdaftar Kelab adalah 16 orang dan 12 ahli berdaftar telah hadir. Maka, korum adalah mencukupi untuk meneruskan mesyuarat agung tahunan.

3. Pembentangan Minit Mesyuarat Agung Tahunan Kedua (11 Februari 2018)

Setiausaha membentangkan minit mesyuarat dan dipersetujui oleh semua ahli yang hadir.

4. Laporan Aktiviti Kelab Kesedaran (Januari – Disember 2018)

Seperti biasa, Kelab Kesedaran terlibat bersama-sama Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama (Sangam) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dalam menjayakan Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama, Taiping, Perak.

Aktiviti yang dikendalikan adalah Kem Keluarga Bahagia (13 Januari 2018), Permainan Tradisional Kaum India (10 Februari 2018), Program Memperkasakan Wanita dan Beliawanis (10, 11, 17 dan 18 Mac 2018), Penghayatan Seni dan Budaya Menerusi Aktiviti Bahasa dan Sastera (5 Mei 2018), Kem Kepimpinan Projek Komuniti Kavyan (10 Jun 2018), dan Walkaton Merdeka (31 Ogos 2018).

5. Laporan Kewangan (1 Januari – 31 Disember 2018)

Bendahari membentangkan perincian wang masuk dan keluar sepanjang tahun. Para ahli bersetuju dan menerima pembentangan laporan itu.

6. Pemilihan Jawatankuasa Kelab Kesedaran (2019 – 2020)

Peralihan kuasa kepada barisan jawatankuasa baharu berjalan secara lancar kerana para ahli bersetuju sebulat suara dengan senarai nama-nama yang dicadangkan bagi setiap jawatan. Tidak ada pertandingan berlaku. Senarai jawatankuasa baharu adalah seperti berikut:

Pengerusi — M. Vanitha Murugan
Timbalan Pengerusi — Christiana Francis
Setiausaha — Magesuary Chrishnan
Penolong Setiausaha — Manju Subramaniam
Bendahari — Mariamah P. Kumarasamy
Penolong Bendahari — Mathana Nagarajan
AJK Kecil 1 — Shanmugarani P. Shanmugam
AJK Kecil 2 — Loganathan Veloo
AJK Kecil 3 — Anbarasi Thirupathi
Juru Audit — Jegavani Lengkan

Mesyuarat juga sebulat suara bersetuju mengekalkan penasihat kerana khidmat nasihat dan panduan daripada mereka amat diperlukan:

Dato’ Murugan Alimuthu
Encik Adam Arokia Ammaradass

7. Ucapan Pengerusi Baharu

Vanitha Murugan dalam ucapannya mengucapkan terima kasih atas keyakinan yang diletak oleh para ahli atas kepimpinannya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pemimpin dahulu yang memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada barisan pelapis.

Vanitha Murugan memohon kerjasama barisan jawatankuasa baharu supaya pelbagai program dapat dirancang dan dilaksanakan dengan penuh jaya. Para ahli juga perlu menjalin hubungan dan komunikasi dua hala dengan masyarakat supaya semua program yang dirancang dapat membawa manfaat memperkasakan komuniti dan pembangunan kapasiti seperti diharapkan.

8. Membincangkan cadangan dan usul

Mesyuarat bersetuju supaya program besar diadakan dua bulan sekali, manakala program mingguan pula adalah kelas Thevaram/Bhajan dan Silambam. Program tambahan akan dirancang dan dikendalikan mengikut kesesuaian dan seperti diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa yang diadakan tiga bulan sekali.

9. Hal-hal Berbangkit

Para ahli meminta supaya Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama (Sangam) terus terlibat dalam pelbagai program komuniti secara kerjasama. Uthaya Sankar SB selaku presiden Kavyan, dan Loganathan Veloo selaku setiausaha Sangam bersetuju untuk meneruskan kerjasama itu.

10. Penangguhan Mesyuarat

Mesyuarat ditangguhkan pada 5.35 petang.